Keadilan Ekonomi Untuk Rakyat

Ekonomi Sejahtera, Rakyat Merdeka

Bagaimana Mengatasi Jurang Pendapatan?

leave a comment »

Masalah Pokok

Jurang pendapatan golongan kaya dan miskin di Malaysia terus melebar. Ia disuarakan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris. Sekadar memberikan gambaran kasar, beliau menyatakan bahawa terdapat segelintir golongan aristokrat yang mempunyai pendapatan berjuta ringgit manakala terdapat sebahagian besar golongan yang hanya mempunyai pendapatan yang sekadarnya untuk hidup.

Bukti

  1. 40 peratus isi rumah berpendapatan purata dibawah RM 1,222 manakala 20 peratus isi rumah yang berpendapatan purata RM 8,157.
  2. 58 peratus isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM 3,000
  3. Pekali Gini Malaysia berada pada paras 0.441 pada tahun 2007, 0.462 pada tahun 2004, 0.442 pada tahun 1990. (0 merujuk kepada keseimbangan mutlak manakala 1 merujuk kepada ketidakseimbangan mutlak). 

Saranan Ringkas

Pertama, mekanisme pengagihan zakat kepada orang Islam yang layak menerima asnaf perlu diperkemaskan dan diperluaskan. Pendapatan tahunan zakat perlu dihabiskan pada tahun tersebut supaya golongan-golongan asnaf menerima jumlah yang sepatutnya dengan kadar kos kehidupan hari ini.

Kedua, Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri perlu lebih mengukuhkan kerjasama dengan menggunakan sekurang-kurangnya 70% daripada peruntukan waqaf dalam RMK 10 untuk membangunkan tanah-tanah terbiar bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan. Perlu diingatkan, pembangunan tanah waqaf bukan hanya sekadar untuk membangunkan rumah asrama untuk anak yatim sahaja, bahkan ia boleh membina hospital, restoran dan fasiliti penting yang lain.

Ketiga, sudah tiba masanya kerajaan menyemak semula gaji rendah yang diterima oleh kakitangan awam berdasarkan kepada keperluan, demografi dan kos sara hidup semasa. Pada masa yang sama, gaji minima juga perlu diperkenalkan khusus untuk pekerja swasta agar mereka tidak terus sengsara dengan gaji yang tidak seberapa. Sekiranya majoriti besar rakyat dapat hidup dalam paras melebihi garis kemiskinan, maka sudah tentu pendapatan zakat akan bertambah setiap tahun dan pengagihan dapat berlaku dengan lebih luas lagi.

Keempat, perbelanjaan kerajaan pusat dan kerajaan negeri mestilah disusun mengikuti keperluan semasa. Ia boleh diukur mengikut kaedah Islam seperti dharuriyyat, hajiyaat dan tahsiniyyat atau menggunakan teori hierarki Maslow.

Kelima, satu mekanisme galakan perlu dikaji supaya golongan kaya dapat memberikan lebihan daripada pendapatannya kepada golongan yang memerlukan dengan lebih sistematik dan efektif.  

Ada pandangan lain?

Written by muslimmalaysia

August 3, 2010 at 2:03 am

Posted in Berita Nasional

Tagged with ,

Leave a comment